Latar belakang Orang Indo-Yunani

Kehadiran orang Yunani yang awal di Asia Selatan

Apollodotus I (180-160 SM), raja pertama yang hanya memerintah subbenua sahaja dan justeru, merupakan pengasas kerajaan Indo-Yunani yang sebenar.[7]

Pada 326 SM, Alexander Agung menaklukkan bahagian barat laut subbenua India sejauh Sungai Hyphasis lalu mengasaskan kawasan-kawasan satrap dan sebilangan petempatan, termasuk Bucephala; baginda kemudian menuju ke selatan apabila askar-askarnya enggan menuju lagi ke timur.[8] Namun, kawasan-kawasan satrap India di Punjab ditinggalkan untuk diperintah oleh Raja Porus dan Taxiles yang diakui semula menerusi Perjanjian Triparadisus pada 321 SM. Askar-askar Yunani yang lain di kawasan-kawasan satrap itu ditinggalkan untuk diperintah oleh jeneral Eudemus. Selepas 321 SM, Eudemus menggulingkan Taxiles lalu memerintah kawasan-kawasan tersebut sehingga beliau meninggalkan India pada 316 SM. Satu lagi jeneral, Peithon, putera Agenor, juga memerintah tanah-tanah jajahan Yunani di Indus [9] sehingga pemergiannya ke Babylon pada 316 SM.

Pada 305 SM, Seleucus I memimpin bala tentera ke arah Indus, di mana baginda bertemu dengan Chandragupta. Pertembungan ini berkesudahan dengan perjanjian damai dan "perkahwinan antara negara" (Epigamia), iaitu perkahwinan sesama kerabat diraja ataupun persetujuan mengahwinkan masyarakat India dan Yunani. Oleh yang demikian, Seleucus menyerahkan wilayah barat laut kepada Chandragupta, mungkin sejauh Arachosia, sambil menerima 500 ekor gajah perang (yang membantu Seleucus memenangi Pertempuran Ipsus):[10]

"Orang India menduduki sebahagian negeri-negeri bekas taklukan Parsi yang terletak di sepanjang Sungai Indus: Alexander merampas Ariani daripada mereka lalu mendirikan petempatan sendiri di situ, tetapi Seleucus Nicator menyerahkannya kepada Sandrocottus kerana terikat oleh perjanjian perkahwinan, lalu dibalas dengan lima ratus ekor gajah."
Strabo 15.2.1(9)[11]

Begitu juga, sebilangan orang Yunani termasuk sejarawan Megasthenes,[12] Deimachus dan Dionysius, diutuskan ke istana Maurya.[13] Kedua-dua pemerintah masih saling bertukar hadiah.[14] Keeratan hubungan ini terbukti oleh kewujudan sebuah jabatan negeri Maurya yang dikhususkan kepada orang luar dari Yunani (Yavana) dan Parsi,[15] ataupun saki-baki tinggalan tembikar keyunanian yang ditemui di seluruh India Utara.[16]

Titah-perintah dwibahasa (Yunani dan Aramia) di Kandahar oleh raja Asoka. Muzium Kabul (klik pada imej untuk terjemahan).[17]

Pada waktu ini, penduduk Yunani nampaknya kekal di barat laut subbenua India di bawah pemerintahan Maurya. Cucunda Chandragupta, Asoka yang memeluk agama Buddha, mengeluarkan titah-perintahnya dalam bentuk tulisan pada batu, sesetengahnya dalam bahasa Yunani,[18][19] bahawa para penduduk Yunani dalam negerinya juga memeluk agama Buddha:[20]

Dalam titah-perintahnya, Asoka menyebut bahawa baginda pernah mengutuskan pesuruh beragama Buddha kepada raja-raja Yunani sejauh Mediterranean (Titah 13),[21][22] serta baginda memajukan perubatan herba di wilayah mereka demi kesejahteraan manusia dan haiwan (Titah 2).[23]

Orang Yunani di India dipercayai memainkan peranan yang besar dalam usaha menyebarkan agama Buddha kerana ada dalam kalangan utusan Asoka seperti Dharmaraksita,[24] atau guru Mahadharmaraksita,[25] dinyatakan dalam sumber berbahasa Pali sebagai sami Buddha Yunani ("Yona") utama yang giat dalam menarik orang ramai menjadi penganut agama ini (Mahavamsa, XII).[26] Juga disangkakan bahawa orang Yunani menyumbang kepada hasil arca Tiang Asoka,[27] ataupun mekarnya kesenian Mauryan pada umumnya.[28]

Pada 206 SM juga, Maharaja Seleucia, Antiochus, memimpin bala tentera ke lembah Kabul untuk menerima gajah perang dan hadiah daripada raja Sophagasenus.[29]